Rasulullah adalah suami contoh yang baik

View previous topic View next topic Go down

Rasulullah adalah suami contoh yang baik

Post by Akhi Mustaqeem on Tue Mar 11, 2014 9:06 am

(صلی اللہ علیہ وسلم)


"sebaik-baik kalian adalah yang paling baik pada keluarganya dan aku adalah terbaik dari kalangan mu kepada keluargaku”
(HR Tirmidzi)

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

"Romantik itu sunnah"





Sepertimana firman Allah dalam Al Quran bahawa Nabi saw adalah contoh ikutan yang terbaik bagi semua manusia. Jadi tidak hairan lah jika nabi saw adalah juga seorang suami yang boleh dijadikan contoh yang terbaik bagi semua lelaki yang akan jadi suami kelak. Walaupun Rasulullah seorang panglima perang, pemimpin tertinggi umat Islam, namun di sisinya terdapat nilai kasih sayang dan jalan kisah yang cukup romantis antara baginda dan isteri-isterinya. Namun berapa banyak sunnah ini dilupakan lalu suami masakini menggambarkan dirinya bagaikan pemegang kuasa keluarga yang perlu sentiasa kelihatan bengis dan penuh egois. Juga, sering mengambil ringan tentang perasaan isterinya dan tidak memberikan perhatian yang sepenuh kepada dia. Maka ini jauh sekali dari sunnah nabi saw. InshaAllah dengan post kali ini. Kita dapat memperlajari sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw dalam menjadi suami yang diidamkan oleh setiap wanita.



"Bermesra-mesra bersama isteri"



“Semua hal yang di dalamnya tidak menyebut nama Allah SWT, adalah suatu yang sia-sia, kecuali dalam empat hal : melatih memanah, melatih kuda, bermain dengan keluarganya, ,dan belajar berenang.”(HR Al Nasa'i)

Kehidupan Nabi Muhammad SAW penuh dengan teladan sehingga keperibadian Baginda SAW sendiri digelar sebagai qudwatun hasanah. Rumah tangga Baginda dibangunkan atas dasar yang kukuh berdasarkan nilai-nilai luhur Islam  Mari kita selami sisi-sisi kehidupan rumah tangga manusia paling agung, Rasulullah SAW yang penuh dengan suasana harmoni dan romantis..

Main lumba-lumba
Antara kisah Rasulullah sallallahi ‘alaihi wa sallam melakukan riadhah bersama isterinya adalah seperti yang terdapat dalam satu hadis Aisyah yang berkata, yang bermaksud :
Suatu ketika, ‘Aisyah menemani Rasulullah SAW dalam suatu perjalanan. Ketika itu ‘Aisyah belum gemuk. Maka Rasulullah bersabda kepada para sahabatnya untuk mempersilakan mereka berjalan terlebih dahulu. Kemudian, Rasulullah berkata kepada ‘Aisyah, “Ayuh kita berlumba lari.” Lalu, ‘Aisyah lari dan berjaya mengalahkan Rasulullah.
Pada kesempatan berikutnya, ‘Aisyah kembali menemani Baginda dalam sebuah perjalanan. Baginda kembali mempersilakan para sahabatnya untuk berjalan terlebih dahulu. Lalu, Baginda berkata kepada ‘Aisyah, “Ayuh kita berlumba lari.”
‘Aisyah lupa di mana kejadian itu. Namun yang dia ingat ketika itu badannya sudah gemuk. ‘Aisyah berkata, “Bagaimana aku boleh berlumba lari denganmu wahai Rasulullah sedangkan badanku begini?” Rasulullah bersabda, “Ayuh kita lakukan!”
Lalu ‘Aisyah berusaha berlumba lari dengan Baginda. Saat itu Baginda berjaya mendahului ‘Aisyah. Baginda pun tertawa riang dan berkata, “Ini balasan atas kekalahanku yang dahulu.”
(HR Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)

Mandi Bersama-sama
Diberitakan bahawa Rasulullah pernah bermandi air cinta bersama isterinya. Dalam Sahih Bukhari diriwayatkan bahawa  
Aisyah berkata bahawa : “Aku sering mandi bersama Nabi Muhammad dari satu bekas air yang disebut al-faraq.” Perbuatan Nabi mandi bersama Aisyah tanpa sebarang tabir penghalang menunjukkan ianya satu sunnah. Terutamanya setelah melakukan hubungan intim sesama pasangan. (HR Bukhari)

Membantu menaikkan isterinya ke atas unta
Jika di zaman sekarang, suami yang sering bantu isterinya digelar sebagai "Gentlemen". Seperti menolong membuka pintu buat isterinya, membuka pintu kereta dan sebagainya. Pada zaman dahulu, lelaki yang membuat seperti ini adalah satu hinaan bagi lelaki itu. Lelaki itu dilihat oleh masyarakat sebagai lelaki yang kurang macho oleh menolong isterinya. Kerana pada zaman jahilyah, wanita dianggap sebagai hamba.

Tetapi persepsi ini semua berubah apabila Rasulullah saw membawa ajaran islam yang suci ini.

Diriwayatkan "Nabi Muhammad SAW duduk di sisi unta baginda. Kemudian baginda menekukkan lututnya. Lalu isteri baginda Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad SAW hingga naik atas unta”
(HR Bukhari)



Menghantar Isterinya Ketika Hendak Keluar
Salah seorang isteri Baginda SAW, Shafiyyah binti Huyay menuturkan, “Suatu ketika Rasulullah SAW sedang beriktikaf. Kemudian aku mendatangi dan menjenguknya pada malam hari, dan berbincang-bincang dengan Baginda. Ketika aku berdiri hendak kembali, Baginda berdiri bersamaku untuk menghantar (menemani sampai ke pintu), lalu berkata, “Jangan terburu-buru hingga aku mengiringimu.” (Riwayat Bukhari, No. 2033 dan Muslim, No. 2175).



Makan dan Minum dari Bekas Bibir Isteri
‘Aisyah berkata, “Aku pernah minum. Saat itu aku sedang haid. Kemudian aku memberikan minuman tersebut kepada Nabi Muhammad SAW (dari bekas yang sama), di mana Baginda menempelkan mulutnya sama di tempat bekas aku minum, lalu Baginda minum. Pernah pula aku makan daging yang tersisa dari tulang dengan menggigitnya, sedangkan aku dalam keadaan haid. Kemudian aku memberikan daging itu kepada Rasulullah, lalu Baginda meletakkan mulutnya pada bekas mulutku.” (Riwayat Muslim, No. 800)
Memanggil dengan Panggilan Manis
Nabi Muhammad SAW selalu memanggil ‘Aisyah dengan panggilan kesayangan iaitu ‘Humaira’ (yang pipinya kemerah-merahan) sesuai dengan sifat fizikalnya.
Kadangkala, Rasulullah SAW juga memanggil ‘Aisyah dengan sebutan ‘Ya ‘Aisy’ dengan membuang huruf terakhir, untuk menunjukkan besarnya rasa cinta, kemanjaan dan kesayangan. Pastinya panggilan itu romantis. ‘Aisy ertinya kehidupan. Jadi, ‘Wahai kehidupan’. Panggilan ini digunakan ketika Rasulullah SAW menyampaikan salam daripada malaikat Jibril untuk ‘Aisyah.
‘Aisyah berkata, “Rasulullah SAW bersabda, “Wahai ‘Aisy, ini malaikat Jibril. Dia menyampaikan salam untukmu! Kujawab, “Dan baginya pula keselamatan dan rahmat Allah serta berkatNya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Keluar Bandar Bersama Isteri
‘Aisyah menuturkan, “Apabila hendak keluar, Rasulullah SAW mengundi isteri-isterinya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Memujuk dengan memegang Hidung Isteri
Nabi Muhammad SAW biasanya memegang hidung ‘Aisyah jika dia (‘Aisyah) marah, dan Rasulullah berkata, “Wahai Uwaisy, bacalah doa, “Wahai Tuhanku, Tuhan (yang mengutus) Muhammad, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku dan lindungilah diriku daripada fitnah yang menyesatkan.” (Riwayat Ibnu Sunni)




Mendukung Isteri Tercinta
‘Aisyah bertutur, Rasulullah SAW sedang duduk-duduk kemudian kami terdengar keriuhan diikuti suara kanak-kanak. Rasulullah kemudian berdiri dan ketika itu ada seorang wanita Ethiopia (Habsyah) yang sedang menari dan kanak-kanak berada di sekitarnya. Baginda lalu berkata, “Wahai ‘Aisyah, ke marilah dan lihatlah (apakah kamu ingin melihat?)”
Lalu kujawab, “Ya.” Lalu Baginda mendirikanku di belakang Baginda dan pipiku di atas pipi Baginda. Kuletakkan daguku di atas bahu Rasulullah SAW.” (Riwayat Bukhari, Muslim, Nasa’i dan Tirmidzi)




Berbaring di Pangkuan Isteri
‘Aisyah r.ha menuturkan, Nabi Muhammad SAW membaca Al-Qur’an (mengulang hafalan) dan kepala Baginda berada di pangkuanku sedangkan aku dalam keadaan haid.”
(Riwayat Bukhari No. 7945)

Bahkan, menjelang wafat, Rasulullah SAW berada di pangkuan ‘Aisyah, begitu sekali romantisnya Baginda hingga ke akhir hayat. Kata ‘Aisyah, “Ketika maut menghampiri Rasulullah, kepala Baginda berada di atas pangkuanku. Baginda pengsan sesaat, kemudian Baginda bersandar dan pandangannya menuju ke atap, lalu berkata, “Ya Allah, (pertemukan diriku dengan) kumpulan orang-orang mulia iaitu nabi yang berada di syurga ‘Illiyyin yang tinggi.” (Riwayat Bukhari, No. 2444)





Jalan-Jalan Romantis di Malam Hari
“Rasulullah SAW apabila datang waktu malam, Baginda berjalan bersama ‘Aisyah dan bincang-bincang dengannya.” (Riwayat Bukhari, No. 5211 dan Muslim, No. 2445)

Memberi Ciuman Sebagai Ekspresi Kasih Sayang
‘Aisyah berkata, “Rasulullah SAW menciumku, kemudian Baginda pergi (ke masjid untuk) solat tanpa memperbaharui wudhu’.” (Riwayat Abdul Razaq, 1/153)

Dari Hafshah, puteri Umar r.a., “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. biasa mencium isterinya sekalipun sedang berpuasa.” (Hadis Riwayat Ahmad).

Memupuk Cinta dengan Hadiah
Ummu Kaltsum binti Abi Salamah berkata, “Ketika Nabi Muhammad SAW menikahi Ummu Salamah, Baginda bersabda kepadanya, “Sesungguhnya aku pernah hendak memberi hadiah kepada Raja Najasyi sehelai pakaian berenda dan beberapa botol minyak kasturi. Namun aku mengetahui ternyata Raja Najasyi sudah meninggal dunia dan aku mengira hadiah itu akan dikembalikan. Jika hadiah itu memang dikembalikan kepadaku, aku akan memberikannya kepadamu.” Dia (Ummu Kaltsum) berkata, “Ternyata keadaan Raja Najasyi seperti disabdakan Rasulullah, dan hadiah tersebut dikembalikan kepada Baginda. Lalu Baginda memberikannya kepada isterinya masing-masing satu botol minyak kasturi dan pakaian tersebut Baginda berikan kepada Ummu Salamah.” (Riwayat Ahmad)




Bergurau bersama isteri
Baginda paling banyak bergurau senda bersama isterinya. Suatu hari datang Saodah (salah seorang isteri Nabi SAW) kerumah Aisyah. Lalu Nabi SAW duduk diantara Aisyah dan Saodah dan meletakkan kaki beliau diatas pangkuan mereka. Ketika Aisyah menjemput Saodah makan, ia menolaknya kerana tidak berselera. Lalu Aisyah berkata : “(Demi Allah), makanlah atau aku akan mengotori wajahmu”. Saodah menolak dengan berkata : Aku tidak akan memakannya”. Lalu Aisyah mengambil makanan dan disapukan ke wajah Saodah. Rasulullah SAW tertawa. Kemudian Rasulullah menyuruh Saodah membalas semula dengan mengotori wajah Aisyah. Setelah Saodah mengotori wajah Aisyah, Rasulullah terus tertawa. (an-Nasai’e, Ibn Abi Dunya)

Isteri Baginda meminyaki badan Nabi saw
Aisyah berkata, “sesungguhnya Nabi s.a.w. apabila meminyaki badannya, baginda akan memulai daripada auratnya menggunakan nurah (sejenis serbuk pewangi) dan isteri baginda meminyaki bahagian lain tubuh Rasulullah s.a.w. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Dari Aishah r.a, beliau berkata, “Saya meminyaki badan Rasulullah s.a.w. pada hari Raya ‘Aidil Adha’ setelah beliau melakukan jumrah aqabah.” (Hadis Riwayat Ibnu ‘Asakir)



"Mengambil berat tentang isterinya"




Setiap isteri perlu diberikan perhatian sepenuhnya. Suami yang benar benar mengambil berat tentang isterinya sudah tentu boleh memahami perasaan isterinya. Dia akan tahu masa isterinya dalam keadaan marah atau dalam keadaan sedih atau pun dalam keadaan gembira. Begitulah Baginda SAW sangat memahami perasaan isterinya hinga Baginda dapat tahu apa isi hati mereka.

Tahu ketika isterinya marah atau tidak
Diriwayatkan oleh Aisyah. Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku: Sesungguhnya aku mengetahui ketika kamu suka dan marah padaku. Maka aku (Aishah) bertanya: Bagaimana kamu mengetahuinya? Rasulullah s.a.w menjawab: Sekiranya kamu suka padaku, kamu berkata tidak, demi Tuhan Muhammad, tetapi sekiranya kamu marah, maka kamu akan berkata, tidak demi Tuhan Ibrahim. Aku berkata: Benar, Wahai Rasulullah! Demi Allah, aku tidak akan melupai namamu.

Temani Isteri Semasa Sakit
‘Aisyah meriwayatkan, “Rasulullah SAW adalah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang sangat lembut dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menginginzikan Isteri untuk bermain bersama rakannya
Diriwayatkan oleh Aishah RA, Aisyah berkata "Aku sering bermain anak patung di rumah Nabi SAW dan rakan-rakan ku sering kunjung dan bermain bersama ku dan setelah dia (nabi saw) datang, mereka pergi, jadi dia (nabi saw) menyuruh mereka untuk bermain dengan ku lagi."




Mengesat air mata isteri
Safiyah RA (Isteri Nabi saw) sedang dalam perjalanan dengan nabi saw. Dia sedang berjalan dengan perlahan. Nabi saw hampiri isterinya sedang dia menangis sambil berkata "Kamu memberi ku seekor unta yang perlahan." Melihat keadaan itu, Nabi saw mengesat air mata dengan tangannya dan memujuk dia. (HR An Nasa'i)

Menghilangkan marah isterinya
Nabi saw akan meletakkan tangannya di bahu isterinya ketika isterinya sedang marah lalu berkata "Ya Allah, ampunkan dosanya, tenangkan hati dia dari kemarahan dan lindungkan dia dari kedukaan."

Membaca ayat Quran kepada keluarganya yang sedang sakit
Nabi saw akan membaca surah Al Falaq dan Surah An Nas apabila ahli keluarganya sakit. Baginda saw akan meniup tiga kali dekat mereka (Sumber: Sahih Muslim)  

Membersihkan titisan darah haid isteri
Dari Aisyah r.a., dia berkata, “Aku pernah tidur bersama Rasulullah s.a.w. di atas satu tikar ketika aku sedang haid. Apabila darahku menitis di atas tikar itu, Baginda mencucinya pada bahagian yang terkena titisan darah dan baginda tidak berpindah dari tempat itu, kemudian beliau sembahyang di tempat itu pula, lalu Baginda berbaring kembali di sisiku. Apabila darahku menitis lagi di atas tikar itu, Baginda mencuci pada bahagian yang terkena titisan darah itu saja dan tidak berpindah dari tempat itu, kemudian baginda pun sembahyang di atas tikar itu.” (Hadis Riwayat Nasai)





"Menjadikan Isteri sebagai penasihat"

Walaupun Baginda saw adalah seorang panglima perang, ketua umat dan sebagainya tetapi nabi saw tetap meminta pandangan dan nasihat oleh isterinya. Walaupun isteri-isteri mereka bukan ketua umat. Ini menunjukkan nabi saw menghargai mereka dan nabi saw ingin mengajar umatnya supaya tidak bersikap egois hingga membuat sesuatu perkara tanpa pengatahuan dan pandangan isterinya.

Nabi saw mendapatkan nasihat dari isterinya meskipun dalam hal yang sangat penting. Seperti Nabi saw meminta nasihat oleh isterinya Umm Salamah ketika penjajian Al Hudaibia.

Diriwayatkan bahawa Nabi saw menulis penjanjian mereka dengan kaum musyirikin Quraish di Al Hudaibia. Nabi saw pun menyuruh sahabatnya untuk membuat korban dan cukur, tetapi tidak siapa menyahut. Nabi saw mengulangi perintahnya buat 3 kali tetapi tidak siapa menyahut lagi. Nabi saw pergi ke Um Salamah dan memberitahu tentang itu.
Um Salamah pun berkata "Wahai Nabi Allah, pergi sana dan jangan bercakap kepada sesiapa hingga mu membuat korban dan cukur. "
Nabi saw mengikut nasihat isterinya dan membuat korban dan cukur. Sahabat nabi yang melihat itu lalu mengikut membuat korban dan cukur. Mereka cukur dalam keadaan sedih hingga mereka hampir membunuh diri mereka.

(Diriwayatkan oleh Um Salama Hind bint Abi Umaiyah - Ibn Jarir Al Tabari. Tafsir Al Tabari)



"Membantu isteri membuat kerja rumah"



Aishah mengatakan, “Rasulullah shalallahu ‘alaihi wa sallamsibuk membantu istrinya dan jika tiba waktu salat maka ia pun pergi menunaikannya.” (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari)


Al-Hafizh Ibnu Hajar berkata, “Di dalam hadits ‘Aisyah lainnya yang dikeluarkan oleh Ahmad dan Ibnu Sa’ad serta dishahihkan oleh Ibnu Hibban, ‘Aisyah berkata, “Beliau (Nabi Shalallahu ‘alaihi wa salaam) yang menjahit kainnya, menjahit sepatunya, dan mengerjakan apa yang biasa dikerjakan oleh kaum wanita di rumah mereka.” {Fathul Baari, jilid 13, hal.70}

"Bersikap Adil Terhadap Isteri-isteri"




Rasulullah saw juga seorang suami yang adil kepada isteri-isterinya.

Mencari Orang Tengah Untuk Selesaikan Masalah
Pernah diriwayatkan bahawa Aishah pernah marah dengan Nabi saw. Jadi Baginda saw memberitahu dia "Sudikah kamu terima Abu Ubaidah Bin Al Jarrah RA sebagai hakim untuk kita?" Lalu dia (Aishah) menjawab "Tidak .." Nabi saw berkata lagi "Sudi kamu terima Umar sebagai hakim?" Dia jawab " Aku takut Umar" Lalu Nabi kata "Sudi kamu terima Abu Bakar (Ayah Aishah)?. "Dia kata "Ya aku terima"

Hadis ini jelas menunjukkan method yang adil yang dilakukan oleh nabi saw untuk menyelesaikan masalah dengan isterinya. Bahawa nabi saw mencari hakim dan baginda saw pastikan hakim itu telah disetuju oleh isterinya. Method ini adalah paling terbaik untuk selesaikan masalah. Ramai yang mengambil method yang mengikut nafsu dan perasaan. Suami bersikap tegas dan aggresive kepada isterinya dari bersikap adil. Juga, boleh jadi mereka salah faham. Jadi sebelum suami itu boleh marahi isterinya, hendaklah memafahami masalah itu dahulu. Tetapi oleh kerana ikut perasaan, maka terjadilah cerai-berai sebuah rumahtangga itu.

Mengamal perundian dengan isteri-isterinya
Nabi saw akan mengadakan perundian dengan isteri-isterinya untuk siapa yang akan mengikuti baginda saw untuk berjalan. Dan baginda saw akan mengambil isterinya yang menang undi itu. (Diriwayatkan oleh Aishah RA dalam Sahih Bukhari)

Tidak pernah memukul isterinya
Nabi saw tidak pernah memukul wanita (HR muslim)

Walaupun suami dibenarkan untuk memukul isterinya tetapi dengan syarat isterinya memang benar benar derhaka kepada dia. Juga Islam mengajar suami untuk memukul isterinya dengan cara yang baik dan bukan cara yang aggresive. Islam melarang memukul di wajah dan tidak boleh gunakan alat alat yang boleh cederakan dia. Yang betul adalah pukul di kaki isteri. Tetapi seorang suami tidak boleh pukul tanpa alasan yang wajar. Bahawa nabi saw sendiri tidak pukul isterinya sendiri dan mencari jalan yang lain iatu sabar.

Segera menemui isteri apabila tergoda
Dari Jabir, sesungguhnya Nabi s.a.w. pernah melihat wanita, lalu Baginda masuk ke tempat kediaman Zainab, untuk melepaskan keinginan Baginda kepadanya, lalu keluar dan bersabda, “Wanita kalau menghadap, ia menghadap dalam rupa syaitan. Apabila seseorang di antara kamu melihat wanita yang menarik, hendaklah ia mendatangi isterinya kerana pada diri isterinya ada hal yg sama dengan yang ada pada wanita itu.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

_________________

avatar
Akhi Mustaqeem
Admin
Admin

Tolibul Ilm
Gender : Male
Join date : 11/03/2014
Location : Singapore
Posts : 76
Reputation : 0
Fan Club : Group Ahlul Sunnah

View user profile http://teamtazkirahplus.blogspot.sg/

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top


 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum